Translate

Tuesday, June 18, 2019

TFC I resah ‘tempang’ tanpa kelibat Lee Tuck

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu FC I (TFC I) yang akan berkunjung untuk berdepan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam ini dalam keadaan agak tempang kerana ketiadaan Lee Andrew Tuck yang digantung satu perlawanan.

Lee Tuck yang merupakan kapten skuad Penyu digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning setakat ini.

Lebih parah, TFC I turut tidak dapat menggunakan khidmat pemain import baharu, Luis Gustavo Camilo kerana masalah dengan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) selain kehilangan pemain, Nasrullah Hanif Johan di benteng pertahanan kerana digantung akibat mengumpul enam kad kuning.

Bagaimanapun, pemain pertahanan TFC I, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menyifatkan ketiadaan pemain-pemain utama itu bukan alasan buat skuad Penyu mengibarkan bendera putih terlalu awal.

“Memang kita akan menentang Perak tanpa kesebelasan terbaik, namun saya dan rakan-rakan sepasukan berjanji akan bermain bermati-matian seperti yang dipamerkan ketika menentang Melaka United kelmarin (Sabtu lalu).

“Jika tidak mampu menewaskan pasukan lawan di gelanggang keramat mereka, biar kita pulang dengan sekurang-kurangnya mencuri satu mata berharga,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Wan Ahmad Amirzafran berkata, rekod pertemuan kedua-dua pasukan agak seimbang malah TFC I pernah menumbangkan skuad The Bos Gaurus di Stadium Perak sebelum ini.

Sehubungan itu, pemain berusia 25 tahun itu mahu TFC I terus fokus untuk memperkemaskan benteng pertahanan skuad Penyu daripada dibolosi pada aksi tersebut.

“Saya dan rakan-rakan berazam mengawal kubu TFC I sebaik mungkin dan mengurangkan kesilapan. Per­gerakan serangan Pe­rak termasuk dua penyerang import baharu mereka iaitu Ronaldo Henrique dan Raianderson Morais pastinya akan dirantai,” katanya.

No comments:

Post a Comment