MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS - Tujuh beradik yatim piatu termasuk seorang bayi berusia 11 bulan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan kali ini dengan penuh kesayuan kerana terpaksa hidup berdikari ekoran kematian ibu pada tahun lalu.
Syahwanie Azwa Sahidi, 16, berkata, ibu mereka, Nor Hayatie Alias meninggal dunia sewaktu masih dalam pantang melahirkan adik bongsu yang ketika itu berusia 51 hari pada Jun tahun lalu.
Dia memberitahu, mereka juga telah kehilangan bapa kandung mereka, Sahidi Abdullah sejak sembilan tahun lalu akibat strok manakala bapa tiri pula kini telah berkahwin lain dan menetap berasingan di Setiu tidak lama setelah kematian ibunya.
"Sejak itu kami tujuh beradik hidup berdikari sendiri dan menetap di rumah sewa di Bukit Cempaka, Tepoh dekat sini dan setiap hari persekolahan, adik bongsu perlu dihantar kepada pengasuh dengan bayaran RM20 sehari.
"Sewa rumah dan perbelanjaan persekolahan ditanggung bapa tiri selain kami turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan," katanya ketika menerima ziarah Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Bukit Cempaka, Tepoh dekat sini hari ini.
Rombongan Kawat yang diketuai Timbalan Presiden, Ahmad Safri Husnaini Mohamad menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas dan duit raya untuk meringankan beban tujuh beradik itu menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Syahwanie Azwa berkata, bagi menampung kehidupan mereka tujuh beradik, abang sulungnya, Syahil Azem bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment