Translate

Thursday, June 6, 2019

Pemain pertahanan Melaka United cedera kemalangan

KEMAMAN – Pemain pertahanan Melaka United, Mohd. Faizal Muhamad (gambar kecil), 30, cedera selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh kende­raan utiliti sukan, Honda HRV di Kilometer 250.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Jabor dekat sini semalam.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu menyebabkan penumpang Honda HRV, Sabariah Seman, 60, cedera parah di bahagian dada, manakala anaknya, Nur Alya Zulaikha Mohd. Suhaimi, 24, pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Faizal dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung halamannya di Kampung Sentul Patah, Marang, manakala Sabariah yang merupakan pesara guru dan anaknya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bee, Beserah, Kuantan, Pahang.
Beliau berkata, sebelum kejadian, Mohd. Faizal baru selesai mewakili Melaka United pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Ipoh malam kelmarin.

“Sewaktu tiba di lokasi keja­dian, kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki Mohd. Faizal dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh bahagian belakang kenderaan Honda HRV yang berada di hadapannya.

“Rempuhan itu menyebabkan Honda HRV terbabit berpusing beberapa kali sebelum terbalik, manakala kenderaan dipandu Mohd. Faizal merempuh penghadang jalan di kiri lebuh raya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said berkata, impak kemalangan menyebabkan Mohd. Faizal cedera di bahagian muka dan kepala, manakala Sabariah pula cedera parah di bahagian dada.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan.

No comments:

Post a Comment