Translate

Saturday, June 15, 2019

TFC I yakin dapat sekat Melaka United di gelanggang lawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) melaungkan keyakinan mereka untuk mengekang Me­laka United pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Me­laka malam ini.

Penolong Ketua Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata, anak-anak buahnya optimis dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada pertemuan di gelanggang lawan terbabit dalam misi memperbaiki kedudukan liga.

“Kami sedar ia bukan pertemuan yang mudah kerana Melaka United kini berada di puncak prestasi dengan tidak pernah tewas pada semua perlawanan ketika bulan Ramadan lalu.

“Begitu pun, prestasi skuad TFC I juga sudah semakin pulih dan kami pernah mengejutkan mereka pada pusingan pertama sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohamad berkata, ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain juga telah merangka taktikal khusus bagi memperkuat keampuhan barisan pertahanan skuad Penyu dalam mengekang serangan pasukan lawan.

Ujar beliau, pemain-pemain TFC juga telah diingatkan agar merantai rangkaian penyerang Melaka United terutama pemain import Filipina, Patrick Reichelt yang kini merupakan antara penjaring berbisa Liga Super dengan lapan gol.

“Saya percaya kegagalan untuk menggunakan khidmat Luis Gustavo Camilo pada aksi ini tidak banyak menjejaskan pe­rancangan pasukan.
“Kita telah bersedia dengan alternatif lain dengan menggunakan beberapa pemain import daripada pasukan pelapis, TFC II bagi mengimbangi kekura­ngan pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment