MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Gara-gara mahu mencari duit mudah dengan menjual mercun pada bulan Ramadan lalu, seorang wanita didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Abdul Hayyi Salim memutuskan hukuman demikian selepas tertuduh, Nozifadiyana Zulkifli, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis mercun tanpa lesen sah di rumahnya di Batu Rakit, Kuala Nerus.
Kesemua mercun tersebut dijumpai sewaktu serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis di rumah Nozifadiyana pada pukul 2 pagi, 30 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Nozifadiyana yang tidak diwakili peguam bela mendakwa meminjam wang kenalan untuk membeli bekalan mercun terbabit untuk menyara keluarganya termasuk membiayai persekolahan seorang adiknya. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment