TOPIK utama dibicarakan majoriti rakyat Terengganu sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu sudah pasti tentang jambatan angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai drawbridge.
Rata-rata penduduk negeri Pantai Timur itu teruja dan tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman memandu di jambatan angkat terpanjang di dunia bernilai RM248 juta tersebut sejak ia mula dibuka sementara bagi sesi pengujian selama 15 hari mulai 2 Jun lalu.
Wan Amir Asyraf Wan Azman, 25, dari Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu yang menunggu sejak pukul 6.15 pagi muncul pemandu terawal melalui drawbridge yang mula dibuka untuk kegunaan awam pada pukul 7 pagi, 28 Ramadan lalu.
Dianggarkan lebih 5,000 kenderaan pelbagai jenis telah melalui jambatan angkat sepanjang 638 meter merentasi muara Sungai Terengganu bagi menghubungkan Tanjung, Kuala Terengganu di selatan dan Seberang Takir, Kuala Nerus di utara dalam tempoh seminggu pembukaannya.
Senario tersebut menjadikan tiga jambatan lain yang turut menghubungkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terutama Jambatan Sultan Mahmud yang kebiasaan sesak pada waktu puncak musim perayaan agak lengang.
Selain itu, beberapa lokasi strategik seperti Taman Shahbandar dan Pesisir Payang, Kuala Terengganu turut menjadi tumpuan perantau yang pulang beraya dan pelancong untuk mengabadikan gambar swafoto masing-masing dengan berlatarbelakangkan jambatan angkat terbabit.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, jambatan angkat terbabit merupakan sebahagian daripada komponen hab pembangunan baharu, Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) yang dimajukan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC).
“Bahagian tengah jambatan ini yang sepanjang 76 meter boleh diangkat dengan menggunakan teknologi hidraulik bascule bagi membolehkan kapal melaluinya.
“Drawbridge merupakan jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati. Pembinaannya bukan sahaja membaiki aliran trafik di dua daerah terbabit malah memendekkan masa perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud kepada kira-kira 15 minit,” katanya.
Jelas A. Rahman, jambatan angkat setinggi 12.5 meter dari aras laut dan diapit oleh dua menara setinggi 15 tingkat dijangka dibuka secara rasmi pada bulan depan.
Beliau berkata, antara kemudahan yang terdapat di kedua-dua menara terbabit ialah ruangan solat dan tempat penyediaan makanan di tingkat 13 manakala tingkat 14 mempunyai sebuah restoran mewah.
Ciri-ciri unik jambatan angkat tersebut mampu menilai tambah kepada industri pelancongan Terengganu yang selama ini terlalu banyak ditumpukan kepada keindahan gugusan pulau di perairan Laut China Selatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi negeri, Ariffin Deraman pula berkata, drawbridge terbabit menambah lokasi menarik dikunjungi di Kuala Terengganu selain Pasar Payang dan Taman Tamadun Islam.
“Pembukaan jambatan angkat ini juga bakal merancakkan aktiviti menyelusuri Sungai Terengganu sedia ada yang diusahakan TTI River Cruise, Payang Water Taxi dan pengusaha bot penambang tradisional Seberang Takir.
“Berdasarkan maklum balas daripada ketiga-tiga pengusaha berkenaan, bilangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot untuk menyelusuri Sungai Terengganu meningkat mendadak sejak siapnya projek jambatan angkat tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk jati negeri ini juga dilihat begitu teruja memberi cadangan nama rasmi jambatan angkat itu terutama menerusi media sosial.
Antara nama yang dicadangkan untuk diabadikan pada jambatan unik berkenaan ialah Jambatan Sultan Mizan, Jambatan Sultanah Nur Zahirah, Jambatan Tok Ku Paloh, Jambatan Abdul Rahman Limbong dan Jambatan Saleem.
No comments:
Post a Comment