Translate

Tuesday, June 4, 2019

Bayi perempuan maut ketika meniarap di taska

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi perempuan berusia empat bulan ditemui mati dipercayai akibat lemas sewaktu sedang meniarap di sebuah taska di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Dayangku NurAlya Mariyam yang merupakan anak kedua pasa­ngan Awangku Hazrin Awangku Hidup, 34, dan Syahirah Mhd. Ali, 31, ditemui tidak sedarkan diri dengan wajahnya kebiruan dalam keadaan meniarap oleh salah seorang petugas taska itu pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, ibu mangsa, Syahirah kemudiannya bergegas ke taska berkenaan setelah dimaklumkan kejadian itu.

“Bayi perempuan yang berada dalam keadaan tidak bermaya itu dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan.

“Begitupun, bayi perempuan ber­kenaan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada pukul 11.30 pagi tadi (semalam),” kata­nya kepada Kosmo! di sini.

Abdul Rahim berkata, punca kematian sebenar Dayangku NurAlya Mariyam tidak dapat diketahui kerana ibu bapanya enggan menjalankan proses bedah siasat terhadap bayi bongsu mereka.

Menurut beliau, Syahirah dan suaminya enggan menyalahkan mahupun mengambil tindakan kepada mana-mana pihak serta menganggap kematian bayi perempuan yang dilahirkan pada 13 Januari lalu itu sebagai takdir dan ujian kepada keluarga mereka.

“Bayi perempuan tersebut dikatakan baru belajar meniarap dan kejadian yang meragut nyawa itu dipercayai berlaku sewaktu ketiadaan petugas taska di sampingnya.

“Difahamkan juga sebelum kejadian, mangsa ditinggalkan sebentar oleh petugas taksa kerana bayi itu sedang tidur,” katanya.

Jenazah Dayangku NurAlya Mari­yam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam di sini.

No comments:

Post a Comment