KUALA TERENGGANU – Seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan dan teman wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencuri dan memecah masuk dua kedai dobi layan diri di Kuala Nerus dua minggu lalu.
Tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, dan Aimi Shairai Ismail, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pasangan itu didakwa bersama-sama cuba mencuri di sebuah kedai dobi layan diri di Rimba Square, Gong Badak, Kuala Nerus antara pukul 4 pagi dan 4.53 pagi, 7 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa memecah masuk sebuah kedai dobi layan diri lain di Dataran Tembusu, Kuala Nerus dan mencuri wang tunai RM1,000 antara pukul 5.48 pagi dan 7.20 pagi hari yang sama.
Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Kosmo! 12 Jun lalu melaporkan seorang pramugara dan teman wanitanya ditahan selepas dipercayai memecah masuk kedai dobi layan diri di Gong Badak pada 3 Syawal lalu.
No comments:
Post a Comment