Translate

Monday, June 17, 2019

Mekanik pukul isteri kerana tidak diberi duit raya anak dipenjara setahun

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan ganas seorang mekanik mencederakan isterinya hanya kerana tidak diberi duit raya anak berjumlah RM10 pada 2 Syawal lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas tertuduh, Abdul Hafiz Man, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Hafiz didakwa telah mencederakan isterinya, Nazirah Mat Noor, 31, di rumah mereka di Kampung Titian Kulat, Gong Pak Damat, Kuala Nerus pada pukul 12 tengah hari, 6 Jun lalu.

Abdul Hafiz didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan isteri mekanik itu dicederakan suaminya ketika cuba menghalang tertuduh apabila memukul anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun kerana enggan memberikan duit raya sebanyak RM10 kepadanya untuk membeli kad tambah nilai prabayar.


Abdul Hafiz yang dikatakan kerap naik berang dan menjadikan keluarganya sebagai sasaran kemarahan telah ditahan polis di Tepoh, Kuala Nerus pada Sabtu lalu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment