Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas maut selepas diserang seekor beruk jantan peliharaannya yang tiba-tiba naik minyak dalam kejadian di Kampung Leban Besar, Tepoh, Kuala Nerus dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Ngah Muhammad, 72, cedera dengan urat nadi tangan kanannya terputus akibat digigit oleh haiwan berusia lima tahun tersebut. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak Ngah, Mohd. Zakaria turut mengalami kecederaan pada leher selepas bergelut dengan haiwan itu ketika cuba menyelamatkan bapanya.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Zakaria berkata, semasa kejadian, ayahnya sedang memberi arahan kepada beruk yang digelar ‘John’ untuk memetik buah kelapa kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
“Tidak lama selepas itu, keadaan bertukar sepi tanpa suara ayah, ‘John’ dan bunyi buah kelapa jatuh.
“Saya pergi ke belakang rumah (tempat kejadian) dan terkejut melihat ayah dalam keadaan terbaring berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Menurut anak keenam daripada sembilan adik-beradik itu, dia cuba membantu bapanya yang sudah tidak sedarkan diri namun haiwan tersebut bertindak menerkam lehernya dari arah belakang.
Jelas lelaki itu, biarpun dalam kesakitan, dia menggagahkan diri bergelut dengan ‘John’ dan menambat semula haiwan itu dengan menggunakan tali yang masih ada pada lehernya.
“Seorang jiran yang mendengar jeritan saya datang ke tempat kejadian untuk membantu sebelum kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kemudian datang menangkap beruk itu,” katanya.
Mohd. Zakaria berkata, ayahnya mengambil upah memetik buah kelapa dengan menggunakan khidmat beruk sejak 20 tahun lalu.
Jelasnya, ‘John’ yang dipelihara bapanya sejak kecil menerima latihan memetik buah kelapa di sebuah pusat latihan di Kampung Banggol Nyiur semasa berusia setahun.
“Sebelum ini, ‘John’ pernah mengamuk semasa berjumpa dengan seekor beruk betina liar pada akhir tahun lalu tetapi berjaya ditenangkan.
“Saya tidak pasti punca dia naik minyak hari ini (semalam), mungkin ‘John’ tertekan kerana sudah lama tidak memanjat pokok kelapa,” katanya.
Tambah Mohd. Zakaria, kali terakhir ‘John’ memanjat pokok kelapa adalah pada pertengahan bulan lalu.
No comments:
Post a Comment