Translate

Thursday, June 13, 2019

Pelesit rempit Dungun lari operasi JPJ terima enam kompaun trafik

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Lelaki disyaki pelesit rempit yang cedera akibat terjatuh daripada motosikal Yamaha RXZ selepas melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Kampung Seberang Pintasan, Dungun kelmarin bakal dikenakan enam kompaun kesalahan trafik.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki berusia 20-an itu tidak mempunyai lesen memandu sah manakala motosikal Yamaha RXZ ditungganginya juga tidak memiliki cukai jalan.

"Dia juga akan dikenakan kompaun kerana motosikal dinaikinya tidak memiliki insurans, tiada nombor pendaftaran dan  telah diubahsuai tanpa kebenaran.

"Selain itu lelaki tersebut juga akan dikenakan kompaun kerana engkar arahan anggota penguat kuasa JPJ supaya berhenti bagi pemeriksaan pada hari kejadian," katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Zulkarnain memberitahu, spesifikasi motosikal Yamaha RXZ yang dinaiki suspek yang cedera di bahagian lutut tangan dan kaki tangan itu juga didapati telah diubahsuai bagi kegunaan perlumbaan di litar. 

Dalam perkembangan sama, pemeriksaan pada motosikal suspek yang telah disita mendapati tiada menunjukkan sebarang kesan ia telah dilanggar seperti dakwaan yang tular di media sosial sebelum ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment