Translate

Saturday, June 15, 2019

Dijel 7 bulan kerana curi televisyen

KUALA TERENGGANU – Gara-gara mencuri sebuah televisyen di sebuah premis perniagaan di Jalan Bukit Kecil pada minggu lalu, seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood turut mengenakan hukuman denda RM1,000 terhadap Mohd. Sukri Ab. Rahman, 43, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Sukri yang berasal dari Kampung Bukit Kecil di sini didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas telah memecah masuk sebuah kedai di Bazar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu di Jalan Bukit Kecil di sini antara 10 malam, 4 Jun hingga 9 pagi, 9 Jun lalu.

Tertuduh didakwa telah mencuri sebuah televisyen jenama Panasonic bernilai RM830 milik seorang lelaki berusia 27 tahun yang terdapat di dalam premis ber­kenaan.

Berdasarkan fakta kes, pemilik premis perniagaan itu menyedari kedainya dipecah masuk pada hari Ahad lalu selepas ditutup sempena Aidilfitri.

Lelaki itu mengesyaki kedainya dipecah masuk selepas ternampak kesan umpil pada pintu jeriji besi premis perniagaannya sebelum mendapati sebuah televisyen te­lah hilang dipercayai dicuri.

Tertuduh ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh mangsa pada pukul 12.10 tengah hari, Isnin lalu.

No comments:

Post a Comment