KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) akan meningkatkan rondaan di perairan Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi membanteras pencerobohan nelayan asing khususnya Vietnam pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah Maritim Pahang, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, tempoh seminggu bermula beberapa hari menjelang 1 Syawal menjadi kegemaran nelayan Vietnam menjadi semakin agresif menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.
"Mereka mungkin beranggapan kesibukan kita untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai kesempatan terbaik untuk memasuki perairan Pantai Timur bagi mengaut hasil laut secara haram sebanyak mungkin.
"Pada tahun ini kita telah lebih bersedia dengan melaksanakan operasi bersepadu melibatkan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen dan Jabatan Perikanan melakukan rondaan kerap di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 24 April lalu," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Zulkarnain berkata, setiap bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan akan disenaraikan dalam laporan khas sebelum diserahkan kepada pasukan polis antarabangsa, Interpol untuk tindakan lanjut.
Ujar beliau, ia bertujuan agar industri perikanan Vietnam yang sebelum ini menerima kad kuning oleh Kesatuan Eropah dikenakan oula tindakan kad merah pada masa terdekat lantaran perbuatan rakus menceroboh perairan negara itu.
"Pemberian kad merah itu akan menyebabkan industri perikanan Vietnam terjejas kerana bekalan hasil lautnya bakal diharamkan daripada memasuki pasaran Eropah," katanya.
No comments:
Post a Comment