Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Gara-gara baju kerja terlupa digosok, seorang lelaki berang mengugut mahu menyembelih isterinya di Kuala Nerus kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit turut mengejar anak sulungnya dengan sebilah parang setelah remaja itu cuba meleraikan pertengkaran dia dan isterinya.
Sumber memberitahu, insiden itu bermula pada pukul 7.30 pagi kelmarin apabila suspek naik berang selepas baju kerjanya terlupa digosok oleh isterinya yang didapati leka bermain telefon bimbit.
“Dia yang terlewat ke tempat kerja akibat kecuaian tersebut bertindak ganas mencekik, menampar, memaki hamun serta merampas telefon pintar milik isterinya.
“Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan anak sulungnya, namun rupa-rupanya ia masih tidak selesai apabila suspek sekali lagi mengamuk sewaktu dia pulang dari tempat kerja pada pukul 9 malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sumber itu berkata, lelaki itu yang menuduh isterinya yang berusia 38 tahun mengadu masalah rumah tangga mereka kepada orang lain telah bertindak nekad mengacu mangsa dengan sebilah parang sambil mengugut mahu menyembelihnya.
Menurutnya, anak sulung pasangan itu sekali lagi mahu meleraikan pergaduhan tersebut, namun kali ini remaja itu pula telah dikejar bapanya dengan bersenjatakan parang berkenaan.
“Remaja itu bernasib baik dapat menyelamatkan diri. Dia dan ibunya kemudiannya membuat laporan berhubung insiden itu di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus tidak lama kemudian,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian dan memberitahu kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment