TERENGGANU Football Club I (TFC I) mengambil keputusan menggugurkan pemain pertahanan import, Igor Zonjic pada hari terakhir jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia (Liga M) kelmarin.
Pemain berusia 28 tahun berasal dari Montenegro yang telah membuat 46 kemunculan bersama TFC I itu akan digantikan dengan pemain import baharu, Luis Gustavo Camilo dari Brazil.
Berdasarkan kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Camilo, 27, yang diberi jolokan ‘The Tanker’ bakal menggalas tugas mengemudi benteng pertahanan TFC I yang ditinggalkan Zonjic untuk baki saingan Liga M musim ini.
“Camilo dijangka tiba di Terengganu pada bulan Jun ini dan akan menyertai latihan sebelum saingan Liga Super kembali bersambung (selepas cuti Hari Raya Aidilfitri),” ujar kenyataan tersebut di Kuala Terengganu kelmarin.
Bekas pemain kelab Serie D Brazil, Ferroviaria tersebut yang mempunyai ketinggian 1.89 meter pernah beraksi dengan dua kelab Liga Portugal iaitu Beira Mar dan Estoril.
Camilo yang memulakan karier dengan kelab remaja terkemuka Brazil Fluminense juga pernah berkelana ke Bahrain bermain dengan kelab Manama pada tahun 2017.
Dalam pada itu, pengurusan TFC I mengekalkan empat import lain iaitu penyerang, Kipre Tchetche dari Ivory Coast dan tiga pemain tengah iaitu Lee Andrew Tuck (Englad), Sanjar Saakhmedov (Uzbekistan) dan Thierry Chanta Bin (Kemboja).
No comments:
Post a Comment