Translate

Friday, June 7, 2019

Buruh binaan didakwa rancang serang rumah ibadat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan menganjurkan aktiviti berkaitan keganasan.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap perbuatan pengganas de­ngan membuat ancaman menye­rang Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya, Selangor dan mahu membunuh empat individu menerusi aplikasi Whatsapp kumpulan ‘Sejati Sejiwa’ mengikut Seksyen 130J (1) (B) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, lelaki itu didakwa memberi latihan  senjata api dan arahan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan sama di bawah Seksyen 130F (A) dan Seksyen 130F (B) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa mendapatkan enam butir pipe bom, sepucuk pistol semi automatik CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis Luger 9 milimeter bagi melaksanakan perbuatan keganasan dan merekrut individu lain menyertai kumpulan WhatsApp itu untuk tujuan keganasan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JD(1) dan Seksyen 130E Kanun Ke­seksaan.

Mahadi juga didakwa memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan Daesh mengikut Seksyen 130JB(1)(A) Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu antara pukul 9.48 malam, 7 Januari lalu hingga pukul 4.45 petang, 8 Mei lalu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kosmo! 14 Mei lalu melaporkan polis menahan empat individu disyaki merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia pada bulan Ramadan untuk membalas dendam atas kematian anggota bomba, Mohamad Adib Mohd. Kassim.

No comments:

Post a Comment