Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Dua pelancong lelaki yang sedang bercuti di Pulau Redang dekat sini sempena cuti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri maut akibat lemas dalam dua insiden berasingan kelmarin.
Kedua-dua mangsa iaitu Lian Feet Yeow, 23, dan Lim Wei Harng, 58, masing-masing disahkan meninggal dunia akibat lemas pada pukul 10.25 pagi dan 6.40 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos berkata, kejadian lemas pertama melibatkan Feet Yeow yang berasal dari Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan aktiviti air di Pantai Pasir Akar, Pulau Redang.
“Lelaki itu dipercayai sedang melakukan snorkeling bersama beberapa rakan di lokasi kejadian. Salah seorang rakannya kemudiannya ternampak mangsa dalam keadaan tenggelam timbul di permukaan air sambil meminta pertolongan.
“Mangsa telah dibantu dan diberi bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Redang dekat sini. Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas di klinik itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Razmi berkata, insiden lemas kedua pula melibatkan Wei Harng yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang di Pantai Pasir Panjang, Pulau Redang pada hari yang sama iaitu kira-kira lapan jam selepas kejadian pertama.
Menurut beliau, mangsa yang menginap di sebuah resort di Pulau Redang itu dikatakan lemas ketika sedang melakukan aktiviti snorkeling berhampiran dengan bilik penginapannya pada pukul 6.40 petang.
“Dia disahkan meninggal dunia oleh salah seorang pegawai perubatan yang bertugas di resort terbabit.
“Mayat Wei Harng dan Feet Yeow telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment