Translate

Wednesday, June 29, 2022

Tiga bersaudara lemas di air terjun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Keakraban dua beradik bersama sepupu perempuan mereka berterusan sehingga ke hujung nyawa apabila mereka maut dalam kejadian lemas di Lata Changkah, Ulu Seladang di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu mengorbankan Syariatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan adiknya, Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19.

Ibu dua beradik berkenaan, Sarimah Awang, 62, berkata, Syariatul Nurfatihah dan Sya­riatul Noor Safiqa yang merupakan anak kedua dan keempatnya amat rapat dengan Siti Aishah sejak kecil.

“Kami bergerak dari rumah di Kampung Hilir Maras, Kuala Nerus ke Lata Changkah pada pukul 10.30 pagi dengan menaiki dua kereta.

“Sewaktu di dalam kereta, mereka amat ceria dan saling bergurau antara satu lain,” kata­nya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Setiu di sini semalam.

Syaridatul Nurfatihah dan Siti Aishah masih bujang, manakala Syariatul Noor Syafiqa pula telah berkahwin dan mempunyai dua anak. Dua beradik itu merupakan kakitangan swasta, manakala Siti Aishah pula penuntut Pusat Giat Mara Batu Rakit, Kuala Nerus.

Mengimbas kejadian tersebut, Sarimah berkata, mereka biasa berkelah di Lata Changkah yang terletak berhampiran rumah adiknya di Kampung Ulu Seladang.

Tambahnya, mereka memutuskan untuk mandi di lokasi yang agak terpencil sedikit berikutan terlalu ramai pengunjung berkelah di lokasi berkenaan kelmarin.

“Saya meninggalkan mereka mandi untuk membawa salah seorang cucunya yang mengantuk menumpang tidur di rumah adik berhampiran.

“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan memaklumkan dua anak dan sepupu mereka lemas,” katanya.

Sarimah berkata, anak sulungnya, Sariatul Syafira, 32, juga kini dirawat di wad Hospital Setiu kerana turut hampir lemas sewaktu cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa.

Beliau berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras pada pukul 4.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila salah seorang daripada mangsa tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata, ahli keluarga yang lain termasuk Sariatul Syafira cuma membantu sebelum dua lagi mangsa turut lemas.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa naik ke tebing dengan bantuan pengunjung lain sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu.

“Begitupun, sebaik tiba, pegawai perubatan bertugas mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment