Translate

Monday, June 13, 2022

Komplot jahat keluarga penjenayah

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 HULU TERENGGANU – Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara pada Januari lalu bagaikan tidak serik apabila kembali melakukan jenayah dengan menjadi dalang kepada tujuh kejadian pecah rumah di daerah ini dan Marang. 

Tidak cukup menjadi ketua, suspek berusia 28 tahun itu turut bersubahat dengan kakak dan abang iparnya untuk membentuk kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Fahmy. 

Berdasarkan siasatan awal, Geng Fahmy telah memecah masuk sekurang-kurangnya tujuh buah rumah dengan menjadikan barangan kemas dan wang tunai sebagai sasaran utama. 

Kelicikan mereka yang telah berjaya melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM100,000 bagaimanapun terbongkar selepas abang ipar dan kakak suspek utama yang masing-masing berusia 28 dan 38 tahun diberkas di sebuah hotel di Pudu, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pasangan suami isteri itu yang mengusahakan premis mencuci kenderaan dan butik pakaian ditahan selepas baru sahaja menjual barangan kemas yang dicuri adik mereka kepada seorang ejen di ibu negara. 

“Barang kemas yang dijual pada harga RM47,400 itu dicuri dari sebuah rumah di Kampung Pauh di sini yang dipecah masuk suspek utama pada Khamis lalu.

 “Hasil tangkapan kedua-dua suspek, polis berjaya menahan suspek utama yang merupakan lelaki yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah pada bulan Januari lalu. Suspek ditahan di Kampung Temala Hilir, Marang pada semalam (kelmarin),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini semalam. 

Mohd. Adli berkata, siasatan awal mendapati, aktiviti pecah rumah itu akan dilakukan oleh suspek utama, manakala kakak dan abang iparnya pula berperanan mencari pelanggan untuk menjual hasil yang dicuri. 

Jelas beliau, modus operandi dilakukan suspek untuk memecah masuk rumah mangsa dengan menggunakan jek kenderaan bagi membengkokkan besi palang tingkap rumah penduduk.

 “Suspek kemudian akan menanggalkan cermin nako seterusnya memasuki rumah terbabit menerusi tingkap terbabit.

 Berdasarkan pengakuan suspek, mereka bertanggungjawab memecahkan masuk tujuh rumah di daerah Hulu Terengganu dan Marang sejak awal Januari lalu. 

“Mereka hanya menghentikan aktiviti memecah masuk rumah buat sementara ketika Ops Selamat Aidil tri dilancarkan baru-baru ini,” katanya. 

Mohd. Adli berkata, semakan mendapati suspek utama memiliki tiga rekod jenayah berkaitan kes dadah selain positif syabu, manakala pasangan suami isteri itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif ujian dadah. 

Tambahnya, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment