Translate

Monday, June 13, 2022

Pelajar meninggal dunia sewaktu aktiviti rentas desa

MARANG – Aktiviti merentas desa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini tergendala apabila seorang pelajar tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia semalam. 

Dalam kejadian pada pukul 9.05 pagi itu, Aman Basri Muhd. Rohaizi, 16, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini sebelum disahkan meninggal dunia.

 Ibu pelajar itu, Harazul Azliana Harun, 42, berkata, pemergian Aman Basri amat mengejutkan kerana anak sulung daripada dua beradik itu aktif bersukan selain tidak memiliki sebarang masalah kesihatan sebelum ini. 

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu memberitahu, pada mulanya, dia menyangka anak lelaki itu cuma pengsan apabila dimaklumkan kejadian tersebut oleh suaminya, Muhd. Rohaizi Che Kob, 45, sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. 

“Anak saya itu aktif bersukan terutama badminton. Sebelum pergi ke sekolah, dia tersenyum lebar sewaktu bersalaman dengan saya. 

“Katanya, ‘mama redalah saya mahu pergi belajar’. Saya tidak rasa apa-apa sebab dia memang budak baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Perpat di sini semalam. 

Harazul Azliana berkata, jenazah anak sulungnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perpat di sini. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris mengesahkan kejadian berkenaan dan kematian pelajar itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi, Aman Basri dikatakan tersadung kaki sebelum terjatuh sewaktu mengikuti aktiviti merentas desa di persimpangan Kampung Asing, Pengkalan Berangan.

 “Beberapa rakan sekolahnya cuba membantu termasuk memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan. 

“Dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik kesihatan itu. Bedah siasat tidak dilakukan atas permintaan keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment