Translate

Saturday, June 18, 2022

Jual 1,000 batang lemang buluh berang

HULU TERENGGANU – Seorang wanita tidak menyangka percubaan menjual lemang buluh berang untuk menyara keluarga selepas suaminya diuji penyakit strok sejak 2017 kini membuahkan hasil.

 Rozita Abd. Rahman, 50, berkata, lemang buluh berang yang menjadi tradisi juadah keluarganya pada pagi hari raya menambat hati pelanggan kerana rasanya yang unik. 

 “Berbanding lemang (buluh) biasa, saya menggunakan buluh berang yang banyak didapati di hutan di Kuala Berang. 

“Penggunaan buluh berang dan daun lerek menjadikan lemang saya mengeluarkan aroma lebih harum serta rasanya juga enak,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Tapu di sini semalam.

 Rozita memberitahu, cara membakar lemang buluh berang adalah sama seperti lemang buluh biasa tetapi permukaan luar perlu diraut supaya masak sekata. 

Tambahnya, lemang buluh berang dijual pada harga RM10 sebatang dan pada musim perayaan baru-baru ini, 

Rozita tidak menang tangan menyiapkan kira-kira 1,000 tempahan lemang buluh tersebut. 

“Saya mengusahakan lemang ini selepas suami, Mohd. Yatim Alias yang bekerja sebagai pemandu lori diserang penyakit strok pada tahun 2017, jadi saya terpaksa ambil alih tanggungjawab menyara tujuh anak kami,” katanya. 

Jelas wanita itu, pelanggan lemang buluh berang bukan sahaja terdiri daripada penduduk daerah ini malah serata negeri Terengganu. 

“Saya berharap legasi perniagaan lemang buluh berang dapat diwarisi anak-anaknya selepas ini,” katanya

No comments:

Post a Comment