Translate

Saturday, June 4, 2022

TDM catat keuntungan RM17 juta suku pertama

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, mencatat prestasi memberangsangkan pada suku pertama kewangan tahun ini dengan meraih keuntungan sebelum cukai sebanyak RM17 juta.

Pengerusi TDM, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, keuntungan itu telah berjaya mengatasi kerugian sebelum cukai RM3.3 juta yang telah dicapai pada suku pertama kewangan tahun lalu.

“Pendapatan tersebut dijana sektor perladangan dan penjagaan kesihatan yang masing-masing mencatatkan peningkatan 67 peratus dan 13 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Raja Idris menjelaskan, pendapatan memberangsangkan dalam segmen perladangan berkenaan disebabkan harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang kekal tinggi.

Tambah beliau,  harga purata CPO dan PK masing-masing telah meningkat kepada 51 peratus dan 83 peratus sepanjang tempoh tersebut.

“Hasil penuai buah tandan segar dan  pengeluaran CPO juga tetap meningkat walaupun berhadapan dengan cabaran tenaga buruh asing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Raja Idris memberitahu, sektor  penjagaan kesihatan turut mencatat pertumbuhan positif dengan penambahan kemasukan pesakit sebanyak 17 peratus.

Tambah beliau,  perbelanjaan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk tempatan juga dijangka  melonjak dalam masa terdekat berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berikutan peralihan ke fasa endemik.

“Kita menjangkakan kehadiran lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan sejak berakhirnya bulan Syawal ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE 

No comments:

Post a Comment