Translate

Saturday, June 18, 2022

Isu bekalan ayam selesai awal Jun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan percaya isu kekurangan bekalan ayam yang berlaku pada masa ini dapat diatasi sepenuhnya pada awal bulan depan. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, beberapa langkah diambil kerajaan seperti pemansuhan permit import (AP) dan larangan eksport ayam akan mula menampakkan kesannya dalam masa terdekat. 

“Saya akui ada beberapa tempat masih menghadapi kekurangan bekalan ayam tetapi ia tidak begitu membimbangkan. 

“Berdasarkan maklum balas pengeluar juga, isu bekalan ayam di pasaran akan selesai pada awal bulan depan (Jun),” katanya ketika ditemui pada program Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen di sini kelmarin. 

Dalam perkembangan sama, Rosol memberitahu, cadangan Jukee Ayam iaitu pembekal ayam terbesar Kelantan untuk membawa ayam hidup dari Thailand bagi mengatasi kekurangan bahan mentah itu pada masa ini tidak dapat dipertimbangkan. 

Jelasnya, setakat ini, hanya ayam bulat segar import dibenar dibawa masuk dengan syarat tertentu bagi mengelak manipulasi. 

“Ayam hidup tidak boleh (dibawa masuk), bimbang masalah (salah guna dan penyakit berjangkit) di kemudian hari,” katanya. 

Rosol juga mengingatkan peniaga agar patuh menjual ayam segar pada harga RM8.90 sekilogram seperti yang ditetapkan kerajaan. 

Ujar beliau, harga tersebut berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMR) Aidilfitri yang hanya akan berakhir 5 Jun depan. 

“Saya akui berdasarkan trend, ada segelintir peniaga akan ‘langgar’ SHMMR pada minggu terakhir pelaksanaannya, namun penguat kuasa kita tetap tegas. 

“Pengguna juga disaran membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan dan pantas,” katanya. 

Kosmo! semalam melaporkan pemilik Jukee Ayam, Zukila Deraman mencadangkan sekurang-kurangnya 10,000 ekor ayam hidup dari Thailand boleh dibawa masuk bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam kini. Zukila menjelaskan, kemasukan ayam hidup dari negara jiran itu bagi membolehkan ia disembelih dan diproses sendiri pengusaha tempatan bagi mengelakkan pengguna was-was.

No comments:

Post a Comment