Translate

Sunday, June 12, 2022

Didakwa salah guna kuasa

 

KUALA TERENGGANU – Penolong akauntan kanan Majlis Daerah Marang (MDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan salah guna kuasa kerana mencadangkan projek kepada suaminya. 

Tertuduh, Sazawati Salleh, 49, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali.

 Wanita itu didakwa menyalahgunakan jawatannya sebagai pegawai kanan MDM dengan mencadangkan sebut harga sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan suaminya. 

Sebut harga itu berhubung kerja-kerja memasang karpet di ruang pejabat dan bilik Pegawai Bahagian Kewangan MDM yang bernilai RM10,640. 

Sazawati didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Kewangan MDM pada 12 Januari 2021.

 Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Husni Mubarak Ghazali. 

Hakim Dazuki membenarkan Sazawati dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment