Translate

Thursday, June 23, 2022

Pengusaha Tasik Kenyir masih terkesan impak banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Lebih 200 pengusaha rumah bot dan bot laju Tasik Kenyir dalam dilema setelah jeti pendaratan pelancong di Pengkalan Gawi di sini masih ditenggelami ‘banjir termenung’ sejak lebih dua bulan lalu.

 Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, banjir luar biasa yang melanda daerah ini pada hujung Februari lalu telah meningkatkan paras air Tasik Kenyir sehingga dua meter. 

Beliau berkata, senario itu telah menyebabkan sebahagian kawasan jeti termasuk tempat letak kenderaan di Pengkalan Gawi masih ditenggelami air sehingga kini. 

“Ia menyebabkan satu-satunya jeti yang menjadi pintu masuk ke Tasik Kenyir tidak dapat digunakan untuk mengambil dan mendaratkan pengunjung. 

“Buat masa ini pengusaha rumah bot dan bot laju terpaksa berlabuh di beberapa kawasan lain buat sementara. Nampak tidak tersusun dan dibimbangi memberi persepsi negatif dalam kalangan pelancong,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Razali merayu agar tindakan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai operator Empangan Kenyir untuk mencari mekanisme terbaik bagi menurunkan semula paras air di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara terbabit. 

Dalam perkembangan sama, beliau juga memohon Jabatan Perhutanan negeri agar menyegerakan kerja-kerja membersihkan sisa-sisa kayu yang banyak hanyut di dalam Tasik Kenyir ekoran banjir besar berkenaan. 

“Baru-baru ini, Ketengah dengan kerjasama pemain industri Tasik Kenyir telah bergotong-royong mengikat sisa kayu berkenaan sebagai penyelesaian jangka pendek. 

“Saya bimbang jika sisa kayu itu terus dibiarkan, ia boleh menghalang laluan rumah bot dan bot laju sekali gus dikhuatiri membahayakan keselamatan pengunjung,” katanya.

 Razali berkata, kedua-dua impak negatif akibat banjir luar musim tersebut perlu diselesaikan segera pihak berkenaan memandangkan kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir semakin meningkat mulai musim perayaan Aidilfitri ini.

 Jelas beliau, sekiranya tiada tindakan diambil segera, ia dibimbangi akan menjejaskan periuk nasi lebih 200 pengusaha rumah bot dan bot laju terlibat.

 “Kasihan mereka yang cuma ada baki lima bulan lagi untuk beroperasi sebelum ketibaan musim tengkujuh. Sebelum ini, lebih dua tahun mereka terjejas akibat pandemik Covid-19,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment