Translate

Sunday, June 19, 2022

Kanak-kanak raya sakan, terima ‘isi sampul’ berganda

PETALING JAYA – Sambutan raya pada fasa peralihan endemik memberi kegembiraan kepada kanak-kanak apabila menerima duit raya melimpah-ruah berbanding sebelum ini.

 Penantian dua tahun sebelum ini dianggap berbaloi apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman boleh dianggap meriah. 

Ramai saudara-mara mengambil peluang pulang ke kampung dan memberi duit raya berganda kepada kanak-kanak. 

Di Terengganu, seorang kanak-kanak, Muhammad Ilham Razlan, 12, berkata, setakat ini, dia telah mengumpul duit raya lebih RM500 sejak raya pertama pada Isnin lalu.

 “Saya tidak keluar beraya sangat tetapi menerima duit raya daripada tujuh ibu dan bapa saudara sebelah mama (ibu) dan ayah yang pulang ke kampung tahun ini

“Adik-beradik datuk yang menziarahi turut memberi duit raya. Ada yang memberi dalam jumlah lebih banyak daripada kebia saan, menurut mama, mereka berkongsi rezeki,” katanya di sini semalam.

 Sementara itu, seorang ibu muda, Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan, 34, pula berkata, dua anaknya termasuk bayi perempuannya, Nurfatiemah Norizam,  40 hari masing-masing menerima duit raya lebih RM400. 

“Saya yang masih dalam pantang tidak membawa anak keluar beraya pun tetapi ramai sanak-saudara yang lama tidak pulang ke kampung menziarahi kami.

 “Kutipan duit raya anak sulung saya, Muhammad Umar, 3, juga dua kali ganda daripada kebiasaannya dalam purata RM200,” katanya. 

Di Parit Buntar, Perak pula, seorang kanak-kanak, Intan Nazura Shari , 10, memberitahu, dia telah mengumpul sebanyak RM130 duit raya termasuk RM30 daripada bapanya kerana berpuasa penuh.

 “Mak cik, pak cik dan abang-abang saudara pun beri juga duit raya. Paling tinggi RM20 daripada pak cik yang bekerja di Pulau Pinang. 

“Duit raya paling sikit biasa RM1 iaitu daripada jiran-jiran sekampung, tapi bagi saya jumlah itu okey kerana duit raya dianggap sedekah,” ujarnya. 

Di Pulau Langkawi, Kedah pula, Mohd. Azhar Saidan, 37, berkata, dia pulang beraya dari Puncak Alam, Kuala Selangor selepas dua tahun tidak pulang akibat pandemik Covid-19.

 “Paling seronok anak lelaki saya, Muhammad Adam Riyad, 5, yang dapat duit raya lebih RM500 daripada keluarga dan kenalan. 

“Kali ini dia dapat kumpul lebih banyak duit raya berbanding kira-kira RM300 sebelum ini,” katanya di sini semalam. 

Ujarnya, hampir kesemua saudara-mara memberikan duit raya sekurang-kurang RM5 dan ada yang memberikan sehingga RM100 dengan alasan sudah lama tidak berjumpa secara  fizikal.

No comments:

Post a Comment