Translate

Sunday, June 19, 2022

‘Aduan tipu transaksi online paling banyak’

KUALA TERENGGANU – Aduan berhubung transaksi online merupakan isu kepenggunaan tertinggi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 2,652 daripada keseluruhan 8,260 aduan yang diterima KPDNHEP dari Januari hingga April lalu melibatkan transaksi online. 

“Trend penipuan transaksi online dikesan semakin menjadi-jadi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun 2020. 

“Selain transaksi online, sebanyak 1,871 aduan berhubung harga dan 1,812 aduan perkhidmatan mengelirukan turut diterima KPDNHEP sepanjang tempoh sama,” katanya pada program Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) di sini kelmarin. 

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, Indeks Pendayaupayaan Pengguna dalam kalangan masyarakat tempatan juga masih di tahap sederhana iaitu 63.1 peratus. 

Jelas beliau, indikator tersebut menunjukkan hak pengguna masih belum dihayati dan dipraktikkan sepenuhnya di negara ini.

“Sehubungan itu, kita perlu membantu pengguna untuk mempraktikkan hak pengguna melalui saluran betul. 

“Kita juga berusaha melengkapkan mereka dengan ilmu kepenggunaan digital dan mengelak risiko menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya

No comments:

Post a Comment