Translate

Saturday, June 18, 2022

Sultan Mizan puji komitmen tinggi Tabung Haji

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memuji komitmen tinggi yang diberikan Tabung Haji dalam memberi perkhidmatan terhadap jemaah tempatan pada tahun ini.

Baginda bertitah, biar pun ibadah berkenaan sudah dua tahun tertangguh, persediaan Tabung Haji dan agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam operasi haji pada tahun ini dilihat amat rapi.

“Beta berharap Tabung Haji akan meneruskan usaha-usaha memantapkan sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia,” titah baginda sewaktu menyantuni 142 kumpulan pertama jemaah haji Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan bertitah, jemaah haji tempatan dipesan sentiasa menjaga akhlak sepanjang berada di tanah suci.

Titah baginda, mereka juga perlu menjauhi sebarang anasir tidak sihat boleh boleh menjejaskan imej dan nama baik negeri.

“Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

“Mengambil iktibar pelaksanaan haji, Beta berharap agar umat Islam terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa,” titah baginda.

Sultan Mizan turut berkenan mendoakan jemaah haji khususnya dari Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah agar dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.

“Setelah dua tahun jemaah haji Malaysia tidak dapat pergi menunaikan haji akibat wabak Covid-19, Beta pasti jemputan kali ini amat dinanti-nantikan oleh semua para tetamu Allah,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment