Translate

Monday, June 20, 2022

Terengganu meriah dengan pelancong

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Cuti panjang perayaan Aidilfitri kali ini merancakkan kembali industri pelancongan di Terengganu. 

Resort di pulau-pulau peranginan di negeri ini khususnya Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut hampir penuh dengan pelancong sejak Jumaat minggu lalu.

 Kadar penginapan bilik hotel, resort dan inap desa di kawasan daratan juga amat memberangsangkan dan dianggarkan mencapai kira-kira 60 peratus. 

Pengurus Operasi Redang Pelangi Resort, Foo Ee Lin berkata, tempahan 50 bilik resortnya untuk cuti perayaan Aidilfitri ini sudah penuh sejak bulan Mac lagi. 

“Kami tetap menerima banyak pertanyaan tentang tempahan bilik untuk cuti hari raya ini hampir setiap hari walaupun pada akhir bulan Ramadan lalu. 

“Begitupun, ia terpaksa ditolak kerana bilik penginapan kami sudah penuh kecuali ada yang membatalkannya pada saat-saat akhir,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Ee Lin berkata, kebanyakan pelancong yang menginap di bilik resortnya sepanjang musim perayaan ini terdiri daripada warga tempatan bukan Melayu dan Islam yang tidak menyambut Aidilfitri. 

Jelas beliau, mereka mengambil kesempatan cuti panjang ini untuk melancong sementara rakan beragama Islam mereka pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga. 

Sementara itu, pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping berkata, berdasarkan maklum balas rakan industri, sambutan terhadap bilik penginapan hotel, resort dan inap desa di bahagian daratan Terengganu juga memberangsangkan. 

Beliau berkata, rata-rata pengusaha menerima banyak tempahan daripada golongan yang merancang untuk bercuti pada musim perayaan Aidilfitri pada saat-saat akhir. 

“Senario ini sudah dijangkakan walaupun tidak semeriah di pulau (peranginan Terengganu). 

“Saya menjangkakan ‘mood’ pelancong termasuk antarabangsa akan melonjak naik selepas banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberi kerajaan mulai 1 Mei lalu,” katanya

No comments:

Post a Comment