Translate

Wednesday, June 22, 2022

KL kembali sesak menjelang Ahad

PETALING JAYA – Lalu lintas di Lembah Klang yang sebelum ini lengang akan kembali sesak apabila polis memaklumkan sebanyak 4.5 juta kenderaan mula bergerak pulang ke ibu negara dan jumlah itu akan meningkat menjelang hujung minggu.

 Pertambahan itu berlaku ekoran warga kota mula kembali ke kediaman masing-masing selepas meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

 Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1.2 juta pengguna dianggarkan menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan. 

“Semalam (kelmarin) berlaku peningkatan trafik sebanyak 2.65 peratus di seluruh lebuh raya iaitu 3.59 juta dilaporkan mula masuk ke ibu kota. 

“Pada dasarnya berlaku peningkatan bagi trend pergerakan pulang ke ibu kota,” katanya.

 Namun katanya, aliran trafik ketika ini belum mencecah 5.5 juta seperti yang berlaku pada 29 April lalu.

 “Kita jangka akan berlaku peningkatan aliran luar biasa bermula esok (hari ini) sehingga Ahad. Kita sudah membuat persiapan menerusi Op Lancar dengan koordinasi di setiap kontinjen dan daerah,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

 Sementara itu, tinjauan di beberapa negeri mendapati keadaan lalu lintas tidak menentu menjelang hujung minggu.

 Di Kuala Nerus, Terengganu, aliran trafik Lebuh Raya Pantai Timur 2 ke negeri ini semakin sesak. Rata-rata mengambil kesempatan melawat saudara-mara terutama di Setiu, Besut dan Kelantan.

 Tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Gemuroh di sini mendapati laluan menghala ke Lembah Klang lenggang, manakala jalan masuk agak sesak kerana ramai pengguna dari utara Terengganu terutama Kemaman dan Dungun sudah pulang pada kelmarin.

 Sebahagian daripada mereka pula menggunakan kesempatan suasana yang kembali tenang untuk bercuti di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Besut. 

Di Kota Bharu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kenderaan yang melalui beberapa kawasan di Gua Musang bertambah sebanyak 10 peratus, namun masih lancar.

 “Trafik mula perlahan di depan Masjid Buluh, Gua Musang. Lokasi yang biasanya sesak di Bulatan Tenaga Nasional Berhad, lampu isyarat Masjid Faiz dan lampu isyarat KFC bagaimanapun bergerak lancar,” katanya. 

Di Alor Setar, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Mohd. Mahiri Hussin berkata, jumlah kenderaan semakin berkurangan dengan jalan utama terutama di pusat bandar lengang. 

Bagaimanapun katanya, bilangan kenderaan di jalan dan lebuh raya bagaimanapun didapati masih banyak dan bertali arus berbanding aliran trafik pada hari biasa. 

“Meskipun ada yang sudah pulang ke ibu kota, namun jumlah kenderaan masih banyak berbanding hari biasa sehingga Ahad ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 Kata beliau, keadaan trafik dalam keadaan terkawal dan tiada kesesakan teruk yang berlaku.

 “Jumlah kenderaan di negeri ini akan kembali normal bermula Isnin ini apabila anak perantau sudah pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya. 

Tambahnya, anggota polis akan terus bertugas menjaga dan mengawal lalu lintas sepanjang Op Selamat sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei ini. 

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menjangkakan lebih 1.4 juta kenderaan akan memasuki Kedah pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

No comments:

Post a Comment