Translate

Thursday, June 16, 2022

Tradisi ‘raya enam’ terus dihidupkan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Seramai kira-kira 150 penduduk Kampung Lingai di sini, masih meneruskan tradisi ‘raya enam’ yang disambut pada 8 Syawal semalam. 

‘Raya enam’ merupakan tradisi mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas selesai menunaikan ibadah puasa sunat selama enam hari di bulan Syawal dalam masyarakat Terengganu khususnya generasi lama. 

Imam Masjid Kampung Lingai, Mat Ghani Muda, 63, berkata, sambutan ‘raya enam’ merupakan tanda kesyukuran kerana menyempurnakan puasa wajib di bulan Ramadan dan puasa sunat enam hari bulan Syawal.

 “Penduduk di sini masih berpegang teguh kepada tradisi ‘raya enam’ sejak ratusan tahun lalu. 

“Pahala puasa penuh di bulan Ramadan ditambah enam hari di bulan Syawal seperti berpuasa sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Lingai, di sini semalam.

 Mat Ghani berkata, sambutan ‘raya enam’ bermula dengan menziarahi pusara ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing pada pukul 7.30 pagi. 

Tambah beliau, mereka kemudiannya bertukar-tukar juadah raya seperti lemang, ketupat palas, nasi minyak dan tapai pulut untuk dinikmati bersama penduduk kampung. 

“Syukur masih ramai penduduk Kampung Lingai yang berpuasa sunat bulan Syawal selama enam hari berturut-turut bermula 2 Syawal termasuk dalam kalangan kanak-kanak,” katanya. 

Mat Ghani berkata, ‘raya enam’ tahun ini amat bererti selepas dua tahun tidak dapat menyambutnya ekoran pandemik Covid-19.

 Beliau berkata, sambutan ‘raya enam’ tahun ini tetap meriah biarpun jatuh pada hari bekerja dan anak-anak bersekolah. 

“Sudah menjadi tradisi, ‘raya enam’ kami jauh lebih meriah dengan pelbagai juadah berbanding 1 Syawal,” katanya.

No comments:

Post a Comment