Translate

Wednesday, June 29, 2022

Terkilan gagal selamatkan adik ipar, sepupu lemas

SETIU – Seorang pemandu ambulans terkilan gagal menyelamatkan tiga ahli keluarganya termasuk dua adik ipar yang maut akibat lemas di Lata Changkah, Ulu Seladang di sini kelmarin.

Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, berkata, dia sedaya upaya menyelamatkan dua adik ipar perempuannya, Syariatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19, tetapi tidak kesampaian.

“Insiden berlaku dengan pantas dan kami agak kelam-kabut. Saya hanya sempat menyelamatkan isteri, Sariatul Syafira, 32, dan seorang lagi sepupu lelaki berusia 13 tahun.

“Saya sendiri hampir lemas kerana mengerah kudrat sepenuh tenaga, namun kami bertiga bernasib baik sempat disambut beberapa pengunjung lain yang membantu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Setiu di sini semalam.

Ahmad Syariefuddin berkata, kejadian lemas berlaku sewaktu mereka mahu naik ke tebing setelah puas mandi di lata tersebut selama hampir dua jam sejak pukul 12.30 tengah hari.

Jelasnya, sewaktu kejadian, sebahagian ahli keluarganya yang lain termasuk ibu mentua­nya, Sarimah Awang dan dua anaknya sudah berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Ulu Seladang berhampiran.

“Kami tiba-tiba mendengar jeritan seorang daripada adik ipar dan sepupu perempuan meminta tolong setelah dipercayai tergelincir ke kawasan air yang agak dalam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment