Translate

Sunday, June 26, 2022

Suami isteri kaki auta kena berkas

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri disyaki dalang kes penipuan inap desa yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang di sini dicekup polis kelmarin. 

Lelaki berusia 27 tahun dan isterinya, 26 tahun yang menganggur diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Dungun pada pukul 10.30 malam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas telefon bimbit, kad sim, kad mikro dan kad bank milik pasangan tersebut. 

“Tangkapan ke atas pasangan itu dibuat selepas pihak polis menerima aduan daripada mangsa dari Port Dickson, Negeri Sembilan berhubung kes penipuan inap desa tidak wujud yang didalangi pasangan terbabit pada 3 Jun lalu. 

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya di sini semalam. 

Menurut M. Zambri, pasangan tersebut mempromosikan inap desa yang tidak wujud itu melalui media sosial serta aplikasi WhatsApp. 

Mangsa yang tertarik dengan gambar-gambar inap desa tersebut kemudiannya diminta membuat pembayaran. 

Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila sampai di alamat yang dinyatakan, namun inap desa tersebut rupa-rupanya tidak wujud. Setakat ini, polis hanya menerima satu laporan daripada mangsa.

 Kosmo! semalam melaporkan seorang pelancong dari Negeri Sembilan mengalami kerugian sebanyak RM221.50 setelah inap desa yang ditempahnya daripada sepasang suami isteri rupa-rupanya tidak wujud. 

Mangsa yang membuat pembayaran bagi tempahan inap desa yang terletak di Jalan Pasir Panjang itu menerusi perbankan online.

 Mengulas lanjut, M. Zambri percaya ramai individu yang menjadi mangsa penipuan menggunakan modus operandi sama dengan mengambil kesempatan daripada keghairahan orang ramai mengunjungi Terengganu pada musim cuti sekolah. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mangsa penipuan terlibat supaya segera membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment