Translate

Friday, June 17, 2022

3 penjenayah tumpas di tangan pemilik motosikal

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pengusaha bot pelancong nekad mengejar sebelum berjaya menangkap tiga lelaki yang melarikan motosikal Yamaha Y15ZR di hadapan rumahnya di Kampung Penarik di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi tu, lelaki berusia 44 tahun itu mengejar ketiga-tiga suspek termasuk dua yang menaiki kereta Proton Inspira sejauh kira-kira 10 kilometer hingga ke Saujana di sini.

Sebelum melarikan motosikal Yamaha Y15ZR terbabit, ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 44 tahun tersebut turut disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit dan mencuri empat kampit simen di sebuah tapak pembinaan di daerah sama.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, pengusaha bot pelancong terbabit yang keluar membeli peralatan memancing dengan motosikal Yamaha Y15ZR dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta Proton Inspira di hadapan rumahnya.

“Salah seorang suspek yang memakai topeng muka hitam keluar dari kereta tersebut lalu merampas dan melarikan motosikal Yamaha Y15ZR yang dipercayai baru dihidupkan enjinnya.

“Mangsa tidak panik sebaliknya nekad mengejar untuk mendapatkan kembali motosikalnya dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, pengusaha bot pelancong berkenaan telah terserempak semula dengan suspek yang menunggang motosikalnya di persimpangan Saujana sebelum berjaya menahan ketiga-tiga suspek berkenaan dengan bantuan beberapa penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment