Translate

Sunday, June 5, 2022

KPDNHEP aktifkan semula program Jualan Kedai Prihatin

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengaktifkan semula program Jualan Kedai Prihatin yang terhenti kira-kira tiga bulan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, program Jualan Kedai Prihatin tersebut yang turut menawarkan barangan pada harga lebih murah daripada pasaran merupakan alternatif kepada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dijadual berakhir bulan ini.

Beliau berkata, mekanisme program Jualan Kedai Prihatin ialah sebuah lori milik KPDNHEP akan menjelajah ke lokasi strategik bagi menemui pengguna.

“Bermula hari ini (semalam), kita akan buat lagi program (Jualan Kedai Prihatin) ini. Fokus kita kepada (daerah) Hulu Terengganu tetapi kita terbuka kepada kawasan-kawasan lain yang memerlukan.

“Jadi dengan adanya kemudahan ini, kita boleh mengembangkan (program Jualan Kedai Prihatin) ke negeri-negeri lain bergantung kepada permintaan,” katanya ketika ditemui ketika memantau perjalanan program Jualan Kedai Prihatin di pekarangan Masjid Kampung Gaung, Kuala Berang di sini hari ini.

Rosol menjelaskan, penganjuran program Jualan Kedai Prihatin memerlukan kerjasama pemimpin setempat khususnya wakil rakyat yang sanggup mengeluarkan sedikit peruntukan bagi memberi subsidi harga barangan yang dijual kepada pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan mekanisme penganjuran PJKM yang sebelum dilaksanakan di 222 Parlimen seluruh negara akan bertukar selepas ini dengan hanya akan diadakan pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment