Translate

Wednesday, June 8, 2022

RM5 bilion fokus sektor pendidikan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Kerajaan memberi fokus terhadap kepentingan pendidikan dengan memperuntukkan RM5.034 bilion bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut diluluskan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). 

“Bagi Terengganu, terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM914.79 juta. 

“Daripada jumlah ini, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus prabina,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Terengganu di sini semalam. 

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin. 

Terengganu merupakan negeri keempat dikunjungi oleh Program Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia selepas Johor, Perlis dan Sabah. 

Seramai kira-kira 20,000 pengunjung menghadirinya sepanjang tiga hari penganjurannya bermula Jumaat dengan nilai jualan termasuk Program Jualan Keluarga Malaysia sebanyak lebih RM4 juta.

 Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, projek pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di sekitar Terengganu yang sedang rancak dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Januari 2025.

 Beliau berkata, projek tersebut menelan belanja RM343 juta di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air turut melibatkan daerah Setiu, Kemaman, Dungun dan Marang.

 “Kerajaan maklum tentang kerosakan benteng pemecah ombak yang membawa kepada berlakunya pemendapan pasir sekali gus mencetekkan laluan bot ke jeti Pelabuhan Chendering, Marang dan menyukarkan proses pendaratan ikan,” katanya

No comments:

Post a Comment