Translate

Saturday, June 11, 2022

Ringgit jatuh, sektor pelancongan tetap rancak sejak 1 Mei

KUALA NERUS – Kejatuhan Ringgit pada masa ini tidak memberi kesan terhadap sektor pelancongan yang dilihat terus rancak sejak peralihan ke fasa endemik mulai 1 Mei lalu. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, minat pelancong domestik untuk melancong masih lagi tinggi di sebalik rungutan ramai tentang kenaikan harga barang. 

Beliau berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (S0P) diumumkan kerajaan sejak awal bulan ini juga telah menarik lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini.

 “Barangkali mereka sudah lama diasingkan dari negara luar dan bergerak (melancong). Setakat ini, tidak nampak lagi kesan negatif daripada kejatuhan Ringgit kepada sektor pelancongan. 

“(Bilik) hotel juga penuh pada masa ini. Kita juga memberi subsidi baucar hotel, pengangkutan, spa bagi mengurangkan beban dan menggalakkan pelancong domestik untuk terus bergerak (melancong),” katanya ketika ditemui ketika menghadiri program Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) di Masjid Seberang Takir, di sini semalam.

 Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Begitupun, Nancy menasihatkan pengusaha pelancongan tidak mengambil kesempatan dengan kehadiran ramai pelancong dan situasi ekonomi semasa tersebut untuk meningkatkan harga perkhidmatan. 

“Kita sepatutnya tolong-menolong untuk memajukan ekonomi Malaysia. Sekira kita mengetatkan (menyukarkan) peluang orang lain untuk bercuti, kita sebenarnya telah mengetatkan rezeki kita sendiri.

 “Begitupun, saya serahkan kebijaksanaan pelancong sendiri untuk membuat penilaian terbaik dari segi harga dan kualiti,” katanya. 

Dalam pada itu, Nancy berkata, sasaran awal kedatangan pelancong asing sebanyak 2 juta pada tahun ini dijangka boleh dicapai dengan mudah. 

Jelas beliau, kelonggaran SOP seperti tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kurantin wajib menjadi pemangkin dan daya menarik lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini. 

“Ini kelebihan Malaysia berbanding negara lain yang masih mengetatkan SOP buat masa ini. Ia sedang giat mempromosikannya secara agresif.

 “Kita letak sasaran dua juta (pelancong asing) dulu, namun mengharapkan penambahan dalam beberapa bulan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment