Translate

Friday, June 24, 2022

Pesta candat sotong di Jambatan Angkat Kuala Terengganu

KUALA NERUS – Kawasan benteng penahan ombak berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini meriah dengan kehadiran ramai pencandat sotong sejak Jumaat lalu. 

Kira-kira 70 orang memenuhi kawasan itu dari pukul 6 petang hingga awal pagi setiap hari. Kebanyakan mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu kilogram (kg) sotong jarum dengan hanya berbekalkan sebatang joran. 

Salah seorang pencandat, Tuan Rashid Tuan Ariffin, 42, berkata, ribuan sotong jarum didapati bermain-main di kawasan benteng penahan ombak terbabit sejak beberapa hari lalu. 

“Faktor bulan mengambang dan ombak tenang mendorong banyak sotong tersebut mendekati kawasan pantai. 

“Tanpa menyewa bot untuk pergi ke tengah laut untuk mencandat pun kita boleh dapat banyak sotong,” katanya kelmarin. 

Tuan Rashid berkata, berdasarkan pengalamannya, kehadiran sotong jarum di pesisir pantai pada tahun ini lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

Dia yang menetap di Chendering, Kuala Terengganu memberitahu berjaya menaikkan kira-kira 5kg sotong jarum setiap malam sejak Jumaat lalu. 

“Sotong jarum ini kalau dibeli di pasar berharga sekurang-kurangnya RM18 sekilogram. 

 “Mewah keluarga saya makan berlaukkan sotong bakar, sotong, masak lemak dan sambal sejak beberapa hari lalu,” ujarnya. 

Seorang lagi pencandat, Musa Yusof, 43, berkata, musim sotong jarum ‘bermain’ di pesisir pantai memberi rezeki tambahan kepadanya. 

Dia yang menetap di Rhu Renggeh, Marang memberitahu, setiap hari dia membawa hasil lebih 5kg sotong jarum yang akan dijual kepada peraih pada harga RM20 sekilogram. 

“Tanpa banyak modal, pendapatan diperolehi daripada mencandat di pesisir pantai ini boleh dikira lumayan. 

“Begitupun pesta candat sotong di benteng penahan ombak ini dijangka berakhir dalam sehari dua berikutan peralihan fasa bulan,” jelasnya

No comments:

Post a Comment