Translate

Friday, June 10, 2022

KPDNHEP perangi aktiviti manipulasi diesel bersubsidi stesen minyak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan aktiviti membeli bahan bakar bersubsidi di stesen-stesen minyak di negeri ini sebelum menjualnya dengan harga lebih tinggi kepada pihak industri.

Aktiviti tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada kenaikan harga petrol dan diesel pada masa ini disyaki dilakukan menggunakan lori tangki minyak berlesen.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kegiatan tersebut mula dikesan menular di negeri ini menerusi penahanan sebuah lori tangki di sebuah stesen minyak di Wakaf Tapai, Marang pada 18 Mei lalu.

“Sewaktu ditahan, suspek sedang memindahkan minyak diesel sebanyak 16,380 liter bernilai RM83,217 ke ruang simpanan tangki (lori) tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

“Sehubungan itu, KPDNHEP Terengganu telah mengambil pendekatan proaktif menggerakkan 116 penguat kuasa kita memeriksa 160 stesen minyak di seluruh negeri ini bagi membendung kegiatan tersebut,” katanya ketika mengetuai pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Saharuddin berkata, tumpuan akan diberikan kepada stesen minyak mencurigakan yang kerap mengalami kehabisan stok dan mencatatkan penjualan bahan besar dalam kuantiti besar pada masa singkat.

Tegas beliau, KPDNHEP negeri tidak akan berkompromi dan memberi amaran keras kepada pihak berkaitan termasuk pengusaha stesen minyak yang bersubahat. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment