Translate

Saturday, June 18, 2022

Terengganu benar korban, akikah dilaksana di pekarangan rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Umat Islam di Terengganu kembali dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban dan akikah di pekarangan rumah dan kawasan lapang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berikutan peralihan negara ke fasa endemik pada masa ini.

Beliau berkata, ibadah korban dan akikah di negeri ini juga dibenarkan dilaksanakan di pekarangan masjid dan surau serta rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Jumlah haiwan yang hendak dikorbankan untuk ibadah korban dan akikah tidak dihadkan.

“Begitu juga petugas yang akan menguruskan kedua-dua ibadah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah tersebut pada masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, solat sunat Aidiladha dibenarkan didirikan di semua masjid dan surau di Terengganu tanpa sebarang penjarakan sosial seperti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada 20 Mac lalu.

“Begitupun kebenaran bagi ibadah korban dan akikah serta solat sunat Aidilfitri ini dikecualikan terhadap kawasan di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment