Translate

Tuesday, June 14, 2022

Pulau Perhentian, Redang dan Kapas bakal jadi tumpuan

 KUALA TERENGGANU – Peralihan negara ke fasa endemik mulai 1 Mei lalu telah memberi kesan yang amat positif kepada industri pelancongan Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Arifn Deraman berkata, kebanyakan destinasi pelancongan di negeri itu menunjukkan peningkatan ketara dalam kunjungan pelancong dalam tempoh tiga minggu pertama bulan ini. 

“Antaranya saya dimaklumkan bahawa tempahan rumah bot Tasik Kenyir di Hulu Terengganu telah penuh sehingga Oktober depan. 

“Tambah mengujakan apabila rangkaian pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas bakal menerima kehadiran ramai pelancong asing secara signifikan dalam masa terdekat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Ariffin memberitahu, keindahan dan keunikan alam semula jadi terutamanya pantai di pulau-pulau peranginan Terengganu menjadi daya penarik kepada pelancong asing dari Eropah dan China.

 Menurutnya, berdasarkan data tahun 2019, pelancong Itali gemar mengunjungi tiga pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas.

 “Seramai 23,238 pelancong Itali mengunjungi tiga pulau tersebut pada waktu itu. 

“Kita menjangkakan senario hampir sama pada tahun ini setelah dua tahun pintu sempadan antarabangsa ditutup akibat pandemik Covid-19,” ujarnya. 

Ariffin berkata, kelemahan mata wang Ringgit boleh menjadi pemangkin kehadiran pelancong asing ke negeri tersebut. 

Begitu pun, situasi itu masih perlu dipantau kerana kejatuhan Ringgit juga pasti memberi kesan negatif kepada kenaikan kos operasi terhadap pengusaha pelancongan.

 “Ketidaktentuan global juga cabaran untuk industri pelancongan tempatan kembali bangkit. 

“Apa pun kita berdoa agar urusan dipermudahkan dan saya berharap pemain industri pelancongan Terengganu terutama di pulau-pulau terus memberi perkhidmatan terbaik demi kepuasan pelanggan,” katanya

No comments:

Post a Comment