Translate

Sunday, June 19, 2022

Ratusan kenderaan tersadai 10 jam

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TOREK SULUNG 

SETIU – Gara-gara kehabisan petrol RON95 dan RON97, ratusan kenderaan tersadai lebih 10 jam di beberapa stesen minyak di daerah ini dan Besut kelmarin. 

Mereka yang rata-ratanya perantau dan mahu pulang ke destinasi masing-masing selepas beraya di kampung terpaksa menunggu ketibaan lori tangki membawa bekalan petrol sehingga pukul 12.30 tengah malam. 

Kebanyakan stesen minyak di kedua-dua daerah itu terutama di Jalan Kampung Raja-Merang dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru yang sesak dengan trafik kehabisan bekalan petrol masing-masing akibat penggunaan tinggi. 

Seorang pengguna yang terkesan, Mohd. Rafi Kori, 43, berkata, dia dan keluarga yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu dari kampung isteri di Pendang, Kedah terpaksa tersadai selama lebih lima jam akibat kenderaan dinaiki mereka kehabisan petrol. 

“Kesesakan mula teruk apabila memasuki sempadan Kelantan-Terengganu di Jertih, Besut. Saya membuat keputusan membelok ke jalan pantai (Jalan Kampung Raja-Merang) tetapi sesak juga. 

“Saya agak panik kerana petrol kereta tinggal sedikit sewaktu tiba di Tembila, Besut tetapi kebanyakan stesen minyak dilalui sudah kehabisan bekalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Rafi berkata, kereta dinaiki keluarganya kehabisan petrol apabila tiba di sebuah stesen minyak di Saujana di sini pada pukul 7.30 malam. 

Tambahnya, insiden kenderaan tersadai akibat kehabisan petrol bukan sahaja menimpa dirinya malah ratusan pengguna lain di stesen-stesen minyak di sepanjang Jalan Kota Raja-Merang.

 “Lori tangki membawa bekalan minyak akhirnya tiba pada pukul 12.30 tengah malam. Kami mengisi petrol sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. 

“Saya tiba ke rumah pada pukul 3.30 pagi. Ini pengalaman pertama tersadai akibat kehabisan petrol walaupun pada musim perayaan Aidilfitri sebelum pandemik Covid-19,” katanya. 

Seorang lagi pengguna, Norshamsiah Mansor, 28, berkata, dia dan keluarganya tersadai di sebuah stesen minyak di Penarik di sini sejak pukul 2 petang. 

“Kami tidak mahu mengambil risiko kehabisan petrol ketika dalam perjalanan kerana aliran trafik agak sesak. 

“Lori tangki tiba tidak lama kemudian tetapi sekadar membawa bekalan petrol RON97. Kami tiada pilihan walaupun ia lebih mahal iaitu RM3.94 seliter,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia mengakui berlaku kekurangan bekalan petrol di beberapa stesen minyak di negeri ini. 

Beliau berkata, masalah itu disebabkan penggunaan tinggi pada Aidilfitri ini. 

“Bukan semua stesen minyak terlibat, kebanyakannya di laluan aliran trafik tinggi. 

 “Sambutan Aidilfitri kali ini agak luar biasa menyebabkan kapasiti penuh bekalan minyak di stesen minyak berkenaan habis dalam tempoh sehari,” katanya. 

Sementara itu, kejadian sama turut dialami pengguna di Pasir Puteh, Kelantan apabila lima buah stesen minyak di Semerak, Beris Lalang dan Kuala Besut di sini kehabisan bekalan petrol RON95 dan RON97. 

Tinjauan Kosmo! mendapati, pemandu kereta menunggu seawal pukul 8 pagi semalam selepas mereka tidak dapat mengisi petrol malam kelmarin.

 Ismail Mamat, 44, berkata, pengguna jalan raya mula bersesak ke stesen minyak selepas penjualannya mula dibuka kepada orang ramai pukul 8 pagi. 

Menurutnya, stesen minyak di jalan utama susur keluar untuk kembali ke ibu kota menjadi tumpuan ramai sejak dua hari lalu menjadi punca petrol habis. 

“Saya dan keluarga terpaksa menunggu sehingga dua jam di stesen minyak di Dalam Rhu di sini. Kami terpaksa beratur sehingga satu kilometer. 

 “Keadaan itu menyebabkan kami lewat tiba ke Kuala Lumpur selain perlu bersesak di Lebuh Raya Pantai Timur,” katanya di sini semalam. 

Jurucakap stesen minyak yang ditemui mengesahkan keadaan itu berkata, bekalan minyak pulih seperti biasa awal pagi semalam, namun pertambahan pengguna melebihi tiga kali ganda berbanding sebelum musim perayaan. 

Rohamad Abdullah, 32, berkata, dia telah cuba berpatah balik untuk mengisi petrol di beberapa stesen minyak yang lain termasuk di bandar Pasir Puteh, namun gagal kerana masalah sama. 

“Pihak berkuasa harus memberi kebenaran kepada lori tangki minyak beroperasi pada musim perayaan bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan yang mencukupi,” ujarnya

No comments:

Post a Comment