Translate

Tuesday, June 21, 2022

Notis palsu, taktik baharu penipuan

KUALA TERENGGANU – Sindiket penipuan dikesan menggunakan taktik baharu mengeluarkan notis palsu mengarahkan kehadiran suspek kononnya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menakutkan mangsa. 

Penipuan itu terbongkar berikutan penyebaran notis palsu tersebut yang kononnya ditandatangani Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa pada Khamis lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, notis palsu tersebut mengandungi butiran peribadi mangsa dan kononnya nombor fail kes. 

Beliau berkata, siasatan mendapati, ia dikeluarkan individu menyamar sebagai anggota polis untuk menakutkan mangsa bagi me lakukan penipuan dan ugutan wang. 

“Kononnya sekiranya mangsa enggan memberi kerjasama, waran tangkap akan dikeluarkan dan mangsa akan ditahan polis. 

“Polis tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat arahan untuk melakukan tangkapan sama ada menerusi notis kehadiran suspek mahu pun memo dalaman yang ditandatangani oleh Ketua Polis Terengganu,” katanya di sini semalam. 

Sehubungan itu, M. Zambri menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan taktik terbaharu sindiket penipuan terbabit.

 Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan merujuk kepada balai polis berhampiran sekiranya menerima notis berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Pusat Respon Penipuan JSJK di talian 03- 2610 1559 dan 03-2610 1599. 

“Pusat itu beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari,” katanya

No comments:

Post a Comment