Translate

Saturday, June 25, 2022

Jenama usahawan Terengganu di Ireland

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu mengambil inisiatif mempromosikan 20 jenama produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) negeri itu di Dublin, Ireland. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Mohd. Rashdan Muda berkata, antara produk terlibat ialah rempah cap Bunga Ros, rempah Tok Ma, sardin Pertima, Sedap Koko, Tenang Recipe, Kopi Layar, Kopi Larich, Nuriq Enterprise, Rochinur dan Keropok TokYam.

 Jelasnya, kesemua produk jenama terbabit kini boleh didapati di Hibiscus Store Limited, yang merupakan pasar raya produk makanan Asia dan Afrika terkenal di Ireland. 

“Usaha ini diharap dapat membuka ruang kepada produk makanan IKS Terengganu untuk menembusi pasaran luar negara, khususnya di Ireland dan Britain. 

“Kami bertuah kerana ia turut mendapat komitmen daripada Kedutaan Besar Malaysia di Ireland yang berjanji untuk membantu,” katanya yang turut hadir menyaksikan pelancaran 20 produk tersebut di Hibiscus Store, Ireland baru-baru ini. 

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman. 

Mohd. Rashdan berkata, berdasarkan maklum balas awal, produk IKS pengusaha Terengganu mempunyai daya tarikan tersendiri di sana serta mencetuskan minat dalam kalangan pengguna Eropah.

 Pada masa sama, beliau menasihatkan pengusaha terlibat agar meningkatkan lagi beberapa aspek kualiti bagi mencapai piawaian ditetapkan di Eropah. 

“Kita juga patut meneroka peluang baharu seperti produk berasaskan ubi kayu yang mendapat permintaan agak tinggi dalam kalangan komuniti berasal dari Afrika di Ireland. 

“Buat masa ini, sebahagian besar produk berasaskan ubi kayu di Ireland diimport dari negara-negara Afrika. Kita boleh cuba memasuki pasaran tersebut kerana turut memiliki sumber dan keupayaan sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment