Translate

Thursday, June 16, 2022

Kucing mati bukan diracun tetapi kena jangkitan virus

KUALA TERENGGANU - Kematian 20 ekor kucing yang ditemui bergelimpangan di Pantai Bukit Keluang, Besut pada lebih dua bulan lalu disahkan bukan disebabkan diracun. 

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Anun Man berkata, hasil bedah siasat terhadap kesemua bangkai kucing berkenaan mendapati punca kematian sebenarnya ialah jangkitan virus.

 “Keputusan bedah siasat terhadap sampel bangkai kucing terbabit didiagnosa terkena jangkitan Parvo Virus. 

“Tiada racun dijumpai dalam semua sampel yang diuji di Jabatan Kimia terbabit,” katanya di sini semalam. 

Anun berkata, Parvo Virus menyebabkan radang usus menular yang boleh menyebabkan kematian pada kucing terutama yang tidak divaksin. 

Tambah beliau, siasatan awal percaya sebahagian besar kucing yang ditemui mati di Pantai Bukit Keluang tersebut merupakan haiwan peliharaan. 

“Ia berdasarkan sebahagian kucing terbabit dipakaikan gelang leher. 

 “Kita tidak menolak kemungkinan individu memeliharanya membuang bangkai kucing tersebut setelah haiwan peliharaan itu mati akibat jangkitan berkenaan,” katanya.

 Kosmo! 7 Mac lalu melaporkan bangkai 20 ekor kucing terbabit ditemui oleh seorang pekerja syarikat penapisan air sewaktu bersiar di pantai berkenaan pada pukul 9.30 pagi. 

Pada awalnya ramai pihak mengesyaki kesemua kucing yang bergelimpangan di kawasan pantai itu mati akibat diracun.

No comments:

Post a Comment