Translate

Thursday, June 30, 2022

Pembinaan LPT3 dijangka bermula hujung tahun ini

 KUALA TERENGGANU – Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuroh, Kuala Nerus hingga Tumpat, Kelantan dijangka bermula selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya mengambil inisiatif berbincang mengenai permohonan untuk mempercepat pembinaan lebuh raya tersebut bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. 

“Saya sudah berbincang dengan Ismail Sabri dan beliau bersetuju (dipercepatkan pembinaan LPT3). Sekiranya tidak sempat dimulakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini,” katanya di sini semalam. 

Ahmad memberitahu, inisiatif tersebut merupakan komitmen Barisan Nasional untuk kembali memakmurkan Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

Pelaksanaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) telah diluluskan dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta. Projek yang diluluskan pada tahun 2019 itu akan melengkapkan akses ke Pantai Timur menerusi LPT dan LPT2 bermula dari Karak, Pahang hingga Gemuroh, Kuala Nerus. 

Pembinaan LPT3 bukan sahaja menjimat masa perjalanan ke Pantai Timur, malah berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi Terengganu dan Kelantan terutama Pelabuhan Tok Bali, Pasir Puteh.

No comments:

Post a Comment