Translate

Wednesday, June 15, 2022

KPDNHEP hantar stok ke lokasi terjejas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil inisiatif untuk menghantar bekalan ayam segar ke lokaliti terjejas berikutan gangguan pengeluaran pada masa ini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ayam segar terbabit akan diambil dari negeri-negeri yang tidak terjejas dan mempunyai lebihan bekalan. 

“Kita mendapat laporan kekurangan ayam (segar) tersebut bukan semua tempat, ada (lokasi) yang lebih. Sehubungan itu, KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membawa bekalan ayam ke tempat yang mengalami kekurangan. 

“Contohnya, sekiranya berlaku kekurangan di Perlis dan ada sedikit lebihan (bekalan ayam) di Pulau Pinang, kita akan menggunakan kelebihan tersebut dengan dihantar ke kawasan terjejas,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang, di sini semalam. 

Difahamkan, masalah kekurangan bekalan ayam segar agak meruncing di negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis sehingga merunsingkan pengguna dan menyebabkan segelintir peniaga makanan berasaskan ayam terpaksa menutup operasi sementara.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, masalah kekurangan bekalan ayam itu disebabkan penutupan operasi beberapa syarikat penternakan selama dua hari ekoran kegagalan mengikuti piawaian berat ditetapkan dan serangan penyakit.

Beliau berkata, tinjuan KPDNHEP dan MAFI ke ladang ternakan baru-baru ini mendapati alasan syarikat penternakan itu mempunyai asas, namun siasatan lanjut sedang dilakukan. 

Dalam perkembangan sama, Rosol memberitahu, masalah kekurangan bekalan ayam segar tidak sepatutnya berlaku kerana penawaran melebihi permintaan pengguna pada masa ini.

 “Isu (kekurangan bekalan) tidak sepatutnya timbul kerana penggunaan ayam sebulan di seluruh negara ialah 60 juta ekor, namun penawarannya bagi tempoh sama pada masa ini ialah 66 juta ekor iaitu lebihan enam juta.

 “Jadi, kita akan pergi ke akar umbi untuk melihat sejauh mana kebenarannya. Kita tidak mahu mereka (pemain industri ayam) mengambil kesempatan dalam keadaan rakyat sedang susah. Itu tidak sewajarnya berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment