Translate

Sunday, June 26, 2022

SPM cemerlang ubati cabaran PdPR

Oleh HARRITH HISHAM, MOHD AZLI ADLAN, TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF, NOR AINNA HAMZAH dan ASLIZA MUSA

PETALING JAYA – Cabaran yang dihadapi ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 diubati dengan keputusan yang cemerlang bagi sebahagian pelajar. 

Bagi A. Shrreya, mendapat 10A+ dalam SPM ketika terpaksa belajar dalam keadaan tertekan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu keputusan yang cukup menggembirakannya. 

Kata pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (P) Seri Aman di sini itu, pengorbanannya me­ngetepikan segala hiburan termasuk media sosial selama lima tahun berbaloi dengan keputusan itu.

"PdPR memang mencabar terutama bagi calon SPM 2021. Ia satu perjalanan yang menakjubkan kerana keputusan itu sangat berbaloi dengan pengorbanan yang saya lakukan.

 “Saya nekad disiplinkan diri dan mengehadkan diri kepada perkara tertentu. Selain media sosial, saya juga mengurangkan masa bersama kawan dan berhibur,” kata anak sulung daripada dua beradik itu. 

Sementara itu, Alyssa Zyra Mohd. Zailan yang memperoleh keputusan 9A berkata, selain PdPR, dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada minggu pertama SPM. 

“Ia telah menjejaskan pemikiran saya, namun saya tetap mengharunginya sebagai cabaran dan peluang untuk ulang kaji. Saya enggan menjadikan perjalanan selama lima tahun di sekolah sebagai sia-sia,” katanya yang bercita-cita sebagai peguam.

Di Kuala Terengganu, cabaran PdPR yang dilalui oleh pelajar yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil tidak menghalang Tengku Abdul Aziz Tengku Md. Fauzi mendapat keputusan 9A+ dan 3A dalam semua mata pelajaran yang diambil. 

Dia yang juga huffaz al-Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Dungun sering pening kerana menggunakan alat bantu dengar ketika belajar subjek rumit. 

“Ia menyebabkan saya kerap berehat sebentar untuk kembali fokus. Saya terpaksa menggunakan fon kepala yang boleh laras bunyi ketika PdPR,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu semalam. 

Terdahulu dia menerima sijil penghargaan atas kecemerlangannya dalam SPM daripada Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muei Ngah. 

Tengku Abdul Aziz berkata,dia sentiasa mengikut pesan ibu bapanya agar solat berjemaah di awal waktu dan membaca al-Quran setiap hari bagi memperoleh keberkatan dalam pelajaran. 

Tambah anak bongsu daripada sembilan beradik tersebut, hakikat sebagai OKU masalah pendengaran menguatkan azamnya untuk mencapai kecemerlangan setara dengan rakan-rakannya yang normal.

 “Saya tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai halangan kerana seorang abang dan kakak yang turut menghadapi masalah sama juga cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli fizik. 

Di Tampin, Negeri Sembilan, Nurin Faqihah Fazli, 18, berkata, dia gembira dalam sedih walaupun mendapat keputusan 9A terutama untuk subjek matematik tambahan. 

“Ketika peperiksaan percubaan saya dapat semua E. Saya juga sedih kerana tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Mendengar bahasa Melayu dan Inggeris bersama rakan-rakan lain kerana positif Covid-19 pada Februari lalu.

 “Saya terpaksa mendudukinya secara berasingan. Saya buang rasa sedih dan mudah letih akibat simptom Covid-19 dan menggunakan 10 hari kuarantin untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya. 

Menurut Nurin Faqihah, berkat doa ibu bapa dan tunjuk ajar guru-guru secara online banyak membantunya. 

 Di Ipoh, walaupun aktif dalam sukan hingga ke peringkat dunia, ia bukan halangan bagi ‘Usain Bolt Malaysia’, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi memperoleh 6A dalam SPM 2021.

 “Ia seakan menebus kekecewaan apabila penyertaan saya dalam acara saringan 100 meter lelaki di Sukan SEA Hanoi 2021 dibatalkan bulan lalu. 

“Ia setimpal dengan semua usaha keras saya selama ini selain sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh.

 Tambahnya, jadual hariannya sangat padat apabila bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk bersiap ke sekolah dan menjalani latihan pada sebelah petang selain kelas persediaan pada malam hari. 

Dalam Sukan SEA Hanoi 2021, Muhammad Azeem tampil selaku pelari pertama kuartet 4x100 meter (m) yang turut dibarisi Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi.

 

No comments:

Post a Comment