Translate

Monday, June 27, 2022

KPDNHEP perangi aktiviti manipulasi diesel subsidi

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan aktiviti membeli bahan bakar bersubsidi di stesen-stesen minyak di negeri ini sebelum menjualnya dengan harga lebih tinggi kepada pihak industri. 

Dalang terbabit mengambil kesempatan daripada kenaikan harga petrol dan diesel pada masa ini dengan menggunakan lori tangki minyak berlesen. 

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kegiatan itu mula dikesan menular di negeri ini apabila sebuah lori tangki ditahan di sebuah stesen minyak di Wakaf Tapai, Marang pada 18 Mei lalu. 

“Semasa ditahan, suspek tersebut sedang memindahkan 16,380 liter minyak diesel bernilai RM83,217 ke ruang simpanan tangki (lori) tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.

 “Sehubungan itu, KPDNHEP Terengganu mengambil pendekatan proaktif menggerakkan 116 penguat kuasa memeriksa 160 buah stesen minyak di seluruh negeri ini bagi membendung kegiatan tersebut,” katanya ketika mengetuai pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Wakaf Mempelam, di sini semalam.

 Ujarnya, tumpuan akan diberikan kepada stesen minyak mencurigakan yang kerap kehabisan stok dan mencatatkan penjualan besar dalam kuantiti besar pada masa singkat. 

Tegasnya, KPDNHEP Terengganu tidak akan berkompromi dan memberi amaran keras kepada pihak berkaitan termasuk pengusaha stesen minyak yang bersubahat. 

Tambah beliau, setakat ini, sebanyak tujuh buah stesen minyak di seluruh Terengganu pernah dikenakan tindakan atas kesalahan melanggar perintah Pengawal Bekalan melibatkan jumlah kompaun keseluruhan RM18,500 sejak 2019.

No comments:

Post a Comment