Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir dekat sini bersedia menerima kehadiran pengunjung dalam kalangan individu lengkap dua dos vaksinasi mulai 1 September depan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, persediaan untuk menerima pengunjung tersebut di tasik buatan terbesar Asia Tenggara bersatus zon bebas cukai berkenaan sedang giat dijalankan.
“Kesemua 300 penggiat pelancongan Tasik Kenyir terdiri daripada pengusaha dan pekerja rumah bot, rumah rakit, rumah rakit serta lain-lain telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 hari ini.
“Mereka akan dilindungi sepenuhnya selepas 14 hari dan sehubungan itu, pengunjung sudah mula boleh mengunjungi kawasan tarikan pelancongan ini mulai 1 September depan,” katanya selepas memantau perjalanan Outreach Vaksinasi Covid-19 Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi di sini hari ini.
Razali berkata, pembukaan semula itu turut meliputi semua kemudahan di Tasik Kenyir termasuk santuari kelah, Gua Bewah, air terjun Lasir, Pulau Orkid dan Pulau Herba.
Tambah beliau, semua kemudahan termasuk termasuk rumah bot dan jeti juga akan disanitasi untuk menambahkan keyakinan pengunjung menjelang pembukaan semula tersebut.
“Pembukaan semula Tasik Kenyir ini dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat khusus untuk rakyat Terengganu yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment